Ahad, 25 Ogos 2019

Resolusi Muzakarah Haji

MUZAKARAH HAJI PERINGKAT KEBANGSAAN
KALI KE-26. MUSIM HAJI 1431H.
Muzakarah ini telah berlansung di Dewan KTC (Kelantan Trade Centre), Kota Bharu, Kelantan, pada 4 – 7 Mac 2010M, bersamaan 18-21 Rabiul-Awwal 1431H. Pesertanya terdiri daripada guru-guru pembimbing jemaah haji di Malaysia dan di Tanah Suci nanti, insya’Allah, yang datang dari seluruh Malaysia.
Sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan oleh Ahli Jawatan Kuasa Penasihat Ibadat Haji TH JAKIM, diikuti oleh pembentangan daripada setiap wakil negara Singapura, Brunei dan Thailand. Ia juga diisi dengan ceramah motivasi tentang pengajaran daripada Haji Nabi SAW.
Berikut adalah Resolusi Muzakarah 
Berikut adalah Resolusi Muzakarah dan diikuti dengan sedikit ulasan dari Abu Anas.

KERTAS KERJA PERTAMA.
TAJUK: PEMERKASAAN HIDUP KEROHANIAAN DALAM MASA MELAKSANAKAN IBADAT HAJI.
1)        Menjadikan kertas kerja ini sebagai bahan bacaan tambahan dalam membincangkan falsafah haji. Cadangan supaya ditambah sebagai satu tajuk khas dalam kursus haji.
2)        Pembimbing Ibadat Haji hendaklah membimbing jemaah haji dengan menggunakan bahasa yang jelas dan terang supaya mudah difahami.
3)        Pembimbing Ibadat Haji hendaklah menunaikan amanah ini dengan ikhlas dan selaras dengan keputusan muzakarah haji peringkat kebangsaan.
4)        Pembimbing Ibadat Haji hendaklah menyedari dirinya sebagai muallim yang menyampaikan ilmu yang betul, muaddib yang mendidik adab dengan halus dan murabbi yang meningkatkan peribadi anak didiknya.

KERTAS KERJA KEDUA.
TAJUK: WAKALAH HAJI DAN UMRAH, QURBAN SERTA PERMASALAHANNYA.
1)        Perkara-perkara yang boleh diwakilkan dalam kerja haji dan umrah; ialah melontar jamrah dan pelaksanaan dam. Perkara-perkara lain yang tidak boleh diwakilkan antaranya ialah seperti; niat ihram, tawaf, saei, wukuf dan mabit.
2)        Wakalah qurban hanya boleh dilakukan bagi orang yang masih hidup dengan izinnya. Walaubagaimanapun bapa dan datuk sebelah bapa boleh melakukan qurban untuk anak atau cucu yang belum baligh, dibawah perwaliaannya yang masih hidup.
3)        Qurban untuk si mati hanya boleh dilakukan apabila diwasiatkan. Manakala qurban untuk si mati tanpa diwasiatkan boleh dilakukan dengan niat berkongsi pahala dengannya.
4)        Perbelanjaan Badal Haji Wajib tidak terbatas kepada 1/3 harta peninggalan si mati.

KERTAS KERJA KETIGA.
TAJUK: BAIK BURUK PETUGAS HAJI YANG TIDAK MELAKSANAKAN HAJI SEMASA BERTUGAS DI TANAH SUCI.
1)        Petugas Haji yang bertugas di Tanah Suci hendaklah digalakkan supaya menunaikan ibadat haji.

KERTAS KERJA KEEMPAT.
TAJUK: LARANGAN IHRAM: KEFAHAMAN MAKSUD PEMAKAIAN SELIPAR (KASUT) YANG MENAMPAKKAN SEMUA JARI KAKI ATAU TIDAK.
1)        Selipar yang mesti dipakai oleh jemaah haji lelaki semasa dalam ihram hendaklah mengeluar dan menzahirkan semua hujung jari jemari kakinya dan kesemua tumit.

KERTAS KERJA KELIMA.
TAJUK: PERMASALAHAN PILIHAN MUSIM HAJI 1430H.
1)        Umrah sunat yang fasad wajib diqada’. Manakala umrah sunat yang tidak dapat disempurnakan kerana ihsar tidak wajib diqada’.
2)        Tiga (3) keadaan niat ihram bersyarat bagi jemaah haji wanita:

Yang Dibolehkan:
2.1- Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
2.2- Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Yang Tidak Dibolehkan:
2.3- Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram kemudian ketika didatangi haid dia berkata; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

3)        Ihram bersyarat tidak digalakkan bagi niat ihram haji.
4)        Jemaah yang pergi ziarah ke tempat yang jarak jauh perjalanan dua marhalah (lebih kurang 91km) dan ke atas, hendaklah melakukan Tawaf Wada’.
5)        Jemaah yang memakai beg kolostomi dikategorikan sebagai orang yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Wuduk yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadat termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wuduk tersebut terbatal.
Walaubagaimanapun semasa di Tanah Suci dinasihatkan agar dia mengosongkan beg tersebut apabila hendak menunaikan solat di masjid atau tawaf, kerana dibimbangi jika terlalu banyak takungan ia menjadi berat dan berkemungkinan pecah atau tiris dalam masjid semasa tawaf atau solat.

KERTAS KERJA KEENAM.
TAJUK: HAID DAN PERMASALAHAN JEMAAH HAJI WANITA – DARI PERSPEKTIF PERUBATAN.
1)        Adalah  lebih baik bagi jemaah wanita yang tidak menghadapi sebarang masalah haid menghindari daripada mengambil pil menahan haid.
2)        Jika terdapat permasalahan haid hendaklah dirujuk kepada pakar sakit puan sebaik-baiknya tiga bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Sekian, Resolusi ini telah dibentangkan oleh Sahibus-Samahah Datuk Haji Hasan Ahmad, Pengerusi Jawatan Kuasa Penasihat Ibadat Haji, merangkap Mufti Pulau Pinang.