Sabtu, 31 Oktober 2026

Terengganu Catat Sejarah: Fatwa Hibah Harta Bercagar & Bersyarat Kini Dibenarkan!

Alhamdulillah, satu berita yang amat dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam, khususnya di Negeri Terengganu Darul Iman.



Jika sebelum ini Kelantan terkenal dengan Enakmen Hibah dan Selangor mempunyai fatwa berkaitan hibah harta bercagar, kini Negeri Terengganu turut melakar sejarah tersendiri dalam memperkasakan instrumen perancangan harta Syariah.

Melalui surat rasmi bertarikh 10 Jamadil Awal 1448H (21 Oktober 2026M), Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu (MAIDAM) telah menyampaikan keputusan mesyuarat fatwa kepada Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu berhubung pelaksanaan dan pengesahan hibah harta bercagar. Keputusan ini telah diputuskan dalam persidangan Kali Ke-10 pada 28 September 2026M dan disahkan dalam persidangan Kali Ke-11 pada 18 Oktober 2026M.

Berikut adalah inti pati penting ketetapan fatwa yang telah diputuskan:

1. Sah Syarat Menduduki / Menikmati Harta Sepanjang Hayat

  • Penghibah dibenarkan meletakkan syarat untuk terus menduduki atau menikmati manfaat harta yang dihibahkan (mawhub) sepanjang hayatnya.
  • Syarat ini sah dan berkuat kuasa di sisi hukum Syarak dengan syarat penerima hibah bersetuju dengannya.

(Ini memberi ketenangan kepada ibu bapa yang mahu menghibahkan rumah kepada anak tanpa bimbang risiko dihalau atau hilang hak menduduki kediaman tersebut selagi hayat dikandung badan).

2. Pengesahan Hibah Harta Bercagar (Masih Berhutang dengan Bank)

Hibah ke atas harta yang masih berada di bawah gadaian institusi kewangan—seperti rumah yang masih dalam tempoh pembiayaan bank—diputuskan SAH di sisi Syarak sekiranya memenuhi salah satu daripada kriteria berikut:

  • Dilindungi sepenuhnya oleh instrumen Takaful: Harta tersebut dilindungi oleh jaminan Takaful seperti Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) atau Mortgage Level Term Takaful (MLTT); ATAU
  • Keizinan bertulis institusi pembiaya: Mendapat persetujuan atau keizinan bertulis secara rasmi daripada pihak bank/pemegang gadaian.

Mengapa Keputusan Fatwa Ini Sangat Signifikan?

Ketetapan ini dibuat berasaskan peluasan maslahah awam (kepentingan masyarakat umum) atas beberapa faktor utama:

  1. Kelangsungan Perancangan Harta: Memberikan laluan dan kemudahan kepada umat Islam merancang pembahagian harta lebih awal tanpa perlu menunggu hutang pembiayaan selesai sepenuhnya.
  2. Mengurangkan Pertikaian Waris: Mengelakkan perebutan dan pertikaian di Mahkamah Syariah selepas ketiadaan penghibah.
  3. Pengiktirafan Isu Qabd: Memberikan pengiktirafan perundangan terhadap pemilikan dan penguasaan (qabd) bagi harta tak alih yang masih mempunyai komitmen pembiayaan.


Tahniah diucapkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu atas langkah proaktif ini. Dengan adanya panduan hukum yang jelas ini, proses pengesahan hibah di Mahkamah Syariah Terengganu akan menjadi lebih jelas, teratur, dan memberi perlindungan hak yang kukuh kepada waris.

Sudahkah anda merancang harta anda untuk insan tersayang? Jangan bertangguh lagi.





Fikhruldin 2024 Kuala Terengganu