Khamis, 29 Ogos 2019

Doa Solat Hajat Upsr 2019


Doa Solat Hajat Upsr 2019


1. Mulakan setiap doa dengan isti'azah dan basmalah (A'uzubillah dan Bismillah)
2. Jangan lupa untuk berselawat ke atas Baginda Rasulillah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wa Sallam
3. Bacalah pula doa memohon keampunan dosa diri sendiri dan kedua ibu bapa
4. Kemudian bacalah doa solat hajat yang masyhur dibaca dalam solat hajat biasa
5. Bacalah apa-apa sahaja doa yang anda tahu
6. Seterusnya bacakanlah doa ini dalam bahasa Melayu yang difahami oleh orang Melayu keseluruhannya:

Ya Allah ya Tuhan kami.
Pada malam yang hening ini, kami tinggalkan keenakan rehat semata-mata untuk mendapatkan keredhaan dan rahmatMu terhadap apa yang kami usaha dan harapkan.

Untuk kali ini ya Allah. Engkau tunaikan dan penuhkanlah hajat dan harapan kami ya Allah. Iaitu kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan besar yang bakal kami tempohi di bulan September tahun ini.

Ya Allah. Ya Tuhan kami.
Harapan ini juga merupakan harapan keluarga kami terutama ibu dan bapa kami. Mereka mengharapkan kami ya Allah. Mereka telah banyak berkorban untuk kami ya Allah.  Engkau sedia ketahui ya Allah betapa pengorbanan mereka itu kepada kami, Ya Allah.

Oleh itu ya Allah. Apakah patut kami balas pengorbanan mereka itu dengan kehampaan. Jangan ya Allah Engkau akhiri perjalanan ini dengan kekecewaan dan kedukaan.

Ya Allah. Tolonglah dan bantulah kami. Hanya Engkaulah ya Allah yang mampu memberi pertolongan itu, ya Allah. Engkau permudahkanlah perjalanan ini.

Ya Allah ya Tuhan kami.
Berikan kami kesihatan tubuh badan, kecergasan akal dan kecergasan fizikal... agar kami mampu menempuh onak dan duri yang sedang kami lalui ini.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Ampunilah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, kasihi mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kami kecil. Ampuni dosa guru-guru kami, dosa anak-anak kami dan dosa seluruh muslimin muslimat, sama ada yang masih hidup atau yang telah mati.

Jika ada di kalangan kami, orang yang berdosa, ampunkanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang berdukacita, gembirakanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang bermuram durja, ceriakanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang daif, permudahkanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang degil, lunakkanlah hatinya, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang gagal, berilah kejayaan, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang jahil, mengertikanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang kesempitan, lapangkanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang lalai, peringatkanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang lemah, kuatkanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang lupa, terangkanlah hatinya, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang malas, rajinkanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang sakit, sembuhkanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang sesat, berilah hidayah petunjuk, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang susah, senangkanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang terbeban, ringankanlah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang terhalang, angkatkanlah rintangannya, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang terlalu yakin, bimbinglah, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang terpisah, rapatkanlah semula, Ya Allah.
Jika ada di kalangan kami, orang yang was-was, yakinkanlah, Ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Kami menadah tangan kepadaMu, berkatilah segala ilmu yang telah kami pelajari, berkatilah segala ilmu yang telah kami atau guru-guru kami ajarkan kepada kami atau anak kami, keluarkanlah kami daripada lembah kejahilan dan kegelapan kepada daerah cahaya NurMu dan ilmu pengetahuan.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Hanya Engkau yang mampu memberi taufik dan hidayah kepada hambaMu, maka anugerahkanlah kepada kami taufiq dan hidayahMu, agar kami menjadi ibu bapa yang dihormati dan dicontohi oleh anak-anak kami, tambahkanlah kasih sayang di antara kami, jauhkanlah rasa benci, hasad dengki dan iri hati, hiasilah diri kami seperti peribadi Rasulullah SAW dan para-para Nabi, serta lindungilah kami dari syaitan yang dilaknati.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Ikhlaskan hati anak kami dalam menuntut ilmu, kekalkan semangat yang tinggi untuk mereka terus belajar tanpa ada rasa jemu, janganlah Engkau palingkan hati mereka dan hati kami, lindungilah kami dan mereka dari menuntut ilmu hanya kerana segulung sijil, hanya untuk harta, hanya untuk wanita, hanya untuk lelaki dan hanya untuk tahta kedudukan. Lindungilah kami dan mereka dari sifat tamakkan dunia.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Kami berlindung kepadaMu daripada ilmu yang tidak memberi manfaat kepada diri dan agama kami, jadikanlah kami orang yang beramal dengan ilmu yang telah Engkau pinjamkan kepada kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Kami memohon kepadaMu, mengharap kepadaMu, bertawakkal kepadaMu, berilah kejayaan kepada kami dan anak-anak kami dalam peperiksaan yang bakal kami tempuhi, tenangkan hati kami dan hati mereka, lapangkan dada kami dan dada mereka, luaskan fikiran kami dan fikiran mereka, kuatkan ingatan kami dan ingatan mereka serta permudahkanlah kami dan permudahkanlah mereka.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Angkatkanlah segala rintangan dan janganlah Engkau jadikan kami tergolong dalam golongan yang menggunakan ilmu untuk merosakkan agama.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Kami hamba yang lemah, hina dan dina ini memohon seribu rahmat dan keberkatan dariMu, golongkanlah kami dalam golongan yang Engkau redhai, tanpa redhaMu, tiadalah ertinya kehidupan kami, maka kepadaMu kami memohon dan kepadaMu juga kami menyerah diri, redhailah kami dalam apa jua yang kami kerjakan. Amin Ya Rabbal Alamin.

7. Setelah itu, bacalah beberapa doa penutup dan di akhiri dengan selawat ke atas Baginda Rasulillah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wa Sallam dan puji-pujian kepada Tuhan Pencipta sekalian alam.

~ والله أعلم ~


Ahad, 25 Ogos 2019

Slide Sijil Pembimbing Ibadah Haji - Tabung Haji 2018

25 Ogos 2019
21700 Kuala Berang

Resolusi Muzakarah Haji

MUZAKARAH HAJI PERINGKAT KEBANGSAAN
KALI KE-26. MUSIM HAJI 1431H.
Muzakarah ini telah berlansung di Dewan KTC (Kelantan Trade Centre), Kota Bharu, Kelantan, pada 4 – 7 Mac 2010M, bersamaan 18-21 Rabiul-Awwal 1431H. Pesertanya terdiri daripada guru-guru pembimbing jemaah haji di Malaysia dan di Tanah Suci nanti, insya’Allah, yang datang dari seluruh Malaysia.
Sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan oleh Ahli Jawatan Kuasa Penasihat Ibadat Haji TH JAKIM, diikuti oleh pembentangan daripada setiap wakil negara Singapura, Brunei dan Thailand. Ia juga diisi dengan ceramah motivasi tentang pengajaran daripada Haji Nabi SAW.
Berikut adalah Resolusi Muzakarah 
Berikut adalah Resolusi Muzakarah dan diikuti dengan sedikit ulasan dari Abu Anas.

KERTAS KERJA PERTAMA.
TAJUK: PEMERKASAAN HIDUP KEROHANIAAN DALAM MASA MELAKSANAKAN IBADAT HAJI.
1)        Menjadikan kertas kerja ini sebagai bahan bacaan tambahan dalam membincangkan falsafah haji. Cadangan supaya ditambah sebagai satu tajuk khas dalam kursus haji.
2)        Pembimbing Ibadat Haji hendaklah membimbing jemaah haji dengan menggunakan bahasa yang jelas dan terang supaya mudah difahami.
3)        Pembimbing Ibadat Haji hendaklah menunaikan amanah ini dengan ikhlas dan selaras dengan keputusan muzakarah haji peringkat kebangsaan.
4)        Pembimbing Ibadat Haji hendaklah menyedari dirinya sebagai muallim yang menyampaikan ilmu yang betul, muaddib yang mendidik adab dengan halus dan murabbi yang meningkatkan peribadi anak didiknya.

KERTAS KERJA KEDUA.
TAJUK: WAKALAH HAJI DAN UMRAH, QURBAN SERTA PERMASALAHANNYA.
1)        Perkara-perkara yang boleh diwakilkan dalam kerja haji dan umrah; ialah melontar jamrah dan pelaksanaan dam. Perkara-perkara lain yang tidak boleh diwakilkan antaranya ialah seperti; niat ihram, tawaf, saei, wukuf dan mabit.
2)        Wakalah qurban hanya boleh dilakukan bagi orang yang masih hidup dengan izinnya. Walaubagaimanapun bapa dan datuk sebelah bapa boleh melakukan qurban untuk anak atau cucu yang belum baligh, dibawah perwaliaannya yang masih hidup.
3)        Qurban untuk si mati hanya boleh dilakukan apabila diwasiatkan. Manakala qurban untuk si mati tanpa diwasiatkan boleh dilakukan dengan niat berkongsi pahala dengannya.
4)        Perbelanjaan Badal Haji Wajib tidak terbatas kepada 1/3 harta peninggalan si mati.

KERTAS KERJA KETIGA.
TAJUK: BAIK BURUK PETUGAS HAJI YANG TIDAK MELAKSANAKAN HAJI SEMASA BERTUGAS DI TANAH SUCI.
1)        Petugas Haji yang bertugas di Tanah Suci hendaklah digalakkan supaya menunaikan ibadat haji.

KERTAS KERJA KEEMPAT.
TAJUK: LARANGAN IHRAM: KEFAHAMAN MAKSUD PEMAKAIAN SELIPAR (KASUT) YANG MENAMPAKKAN SEMUA JARI KAKI ATAU TIDAK.
1)        Selipar yang mesti dipakai oleh jemaah haji lelaki semasa dalam ihram hendaklah mengeluar dan menzahirkan semua hujung jari jemari kakinya dan kesemua tumit.

KERTAS KERJA KELIMA.
TAJUK: PERMASALAHAN PILIHAN MUSIM HAJI 1430H.
1)        Umrah sunat yang fasad wajib diqada’. Manakala umrah sunat yang tidak dapat disempurnakan kerana ihsar tidak wajib diqada’.
2)        Tiga (3) keadaan niat ihram bersyarat bagi jemaah haji wanita:

Yang Dibolehkan:
2.1- Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
2.2- Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Yang Tidak Dibolehkan:
2.3- Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram kemudian ketika didatangi haid dia berkata; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

3)        Ihram bersyarat tidak digalakkan bagi niat ihram haji.
4)        Jemaah yang pergi ziarah ke tempat yang jarak jauh perjalanan dua marhalah (lebih kurang 91km) dan ke atas, hendaklah melakukan Tawaf Wada’.
5)        Jemaah yang memakai beg kolostomi dikategorikan sebagai orang yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Wuduk yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadat termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wuduk tersebut terbatal.
Walaubagaimanapun semasa di Tanah Suci dinasihatkan agar dia mengosongkan beg tersebut apabila hendak menunaikan solat di masjid atau tawaf, kerana dibimbangi jika terlalu banyak takungan ia menjadi berat dan berkemungkinan pecah atau tiris dalam masjid semasa tawaf atau solat.

KERTAS KERJA KEENAM.
TAJUK: HAID DAN PERMASALAHAN JEMAAH HAJI WANITA – DARI PERSPEKTIF PERUBATAN.
1)        Adalah  lebih baik bagi jemaah wanita yang tidak menghadapi sebarang masalah haid menghindari daripada mengambil pil menahan haid.
2)        Jika terdapat permasalahan haid hendaklah dirujuk kepada pakar sakit puan sebaik-baiknya tiga bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Sekian, Resolusi ini telah dibentangkan oleh Sahibus-Samahah Datuk Haji Hasan Ahmad, Pengerusi Jawatan Kuasa Penasihat Ibadat Haji, merangkap Mufti Pulau Pinang.